PERSIDANGAN KEBANGSAAN WARISAN KEBUDAYAAN TIDAK KETARA 2023 | MUZIUM WARISAN MELAYU
» BERITA » PERSIDANGAN KEBANGSAAN WARISAN KEBUDAYAAN TIDAK KETARA 2023

PERSIDANGAN KEBANGSAAN WARISAN KEBUDAYAAN TIDAK KETARA 2023

BANGI, 13 Sept - Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) telah berjaya menganjurkan Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara 2023 selama tiga hari, bermula 11 hingga 13 September, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Persidangan ini dilaksanakan bertepatan dengan kejayaan Malaysia menduduki kerusi UNESCO Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGC ICH) bagi sesi 2022-2026.


Persidangan yang dihadiri oleh pelbagai agensi kerajaan, ahli akademik dan komuniti ini merupakan platform percambahan dan perkongsian ilmu berkaitan cadangan perlindungan warisan kebudayaan tidak ketara negara.


Dengan bertemakan “Kelestarian Warisan Kebudayaan Tidak Ketara”, pelbagai topik menarik telah dibentangkan seperti Inventori Berasaskan Komuniti, Warisan Kebudayaan Tidak Ketara dan Komuniti, serta Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara yang Hampir Pupus.

 

Hal ini bukan sahaja membantu meningkatkan visibiliti negara, tetapi juga membantu dalam perangkaan dasar dan hala tuju pemeliharaan dan perlindungan warisan kebudayaan tidak ketara.

 

“Perkataan warisan bukan merangkumi sekadar koleksi artifak atau monumen sahaja. Bahkan, ia mengandungi manifestasi tidak ketara seperti tradisi ekspresi hidup. Justeru, menerusi definisi muzium, Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) berkeyakinan bahasa muzium berperanan dalam pemeliharaan dan perlindungan kedua-dua ‘warisan ketara’ dan ‘warisan tidak ketara’ serta komited mempertahankan warisan yang rentan ini,” ujar Kurator Muzium
Malaysia, Jabatan Muzium Malaysia, Puan Hajidah Mohd Yunus.


Persidangan ini tidak hanya membedah topik secara keseluruhan tanpa solusi, namun setiap pembentang turut mengemukakan jalan penyelesaian bagi mengekalkan warisan kebudayaan negara sehingga ke peringkat antarabangsa.


Antara topik pembentangan yang menarik ialah Evolusi Sarapan Malaysia: Corak Kulinari Mencerminkan Negara Multibudaya yang telah diketengahkan oleh panel, (Jawatan), (Organisasi), Prof. Dr. Muhammad Shahrim Abdul Karim.


“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menghantar pencalonan Budaya Sarapan Malaysia ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada mac lepas,” ujar Prof. Dr. Muhammad Shahrim Abdul Karim.


“Menerusi pencalonan di bawah List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity ini, Malaysia mengetengahkan tentang budaya makanan sarapan yang menjadi kebiasaan rakyat
di negara ini antaranya nasi lemak, roti canai dan teh tarik,” tambah beliau.


Dalam pada itu, pihak penganjur mengambil kesempatan menyatakan harapan agar persidangan sebegini akan diadakan dengan lebih kerap lagi agar semua lapisan masyarakat terdedah dengan warisan kebudayaan yang dimiliki oleh negara kita.


Para penggiat seni juga digalakkan lagi untuk terus menjaga warisan negara terutama warisan tidak ketara supaya tidak pupus oleh arus kemodenan.

Tarikh Input: 14/09/2023 | Kemaskini: 14/09/2023 | layla

PERKONGSIAN MEDIA

MUZIUM WARISAN MELAYU
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698939
03-9769 3727
SXEbNAj~