BENGKEL ASAS SENIRUPA DESTAR ALAM MELAYU | MALAY HERITAGE MUSEUM
» NEWS » BENGKEL ASAS SENIRUPA DESTAR ALAM MELAYU

BENGKEL ASAS SENIRUPA DESTAR ALAM MELAYU

06 Ogos 2022- Saudagar Bersaudara dengan kerjasama Muzium Warian Melayu Universiti Putra Malaysia, MAAL (Majlis Anak-Anak Anjung Laksamana, Persatuan Warisan Busana Negeri Kedah dan Saudara Setanjak telah berjaya menganjurkan satu program yang diilhamkan berdasarkan kesedaran tentang pentingnya kesenian Melayu.

Penganjuran bengkel ini disertai oleh 70 orang peserta dari pelbagai negeri termasuk peserta dari Singapura. Penganjuran bengkel ini bertepatan dengan semangat penubuhan Muzium Warisan Melayu  yang antara lain berusaha membuka ruang untuk masyarakat umum mengenali dan menghayati kehebatan warisan Melayu sejak zaman-berzaman dan menjadi lokasi tumpuan aktiviti-aktiviti berkaitan warisan Melayu. Penyertaan yang menggalakkan ini membuktikan perasaan cinta dan kasih kita yang tidak pernah luntur terhadap seni dan warisan tanahair yang menjadi kebanggaan kita zaman berzaman, walau dalam apa jua bentuk sekalipun.

“Saya yakin program memartabatkan tradisi busana Melayu ini dapat merangsang minat para pelajar, pengkaji, pensyarah, dan individu yang berminat dalam segala aspek berkaitan alam dan ketamadunan Melayu termasuk sosiologi, sejarah, antropologi, bahasa, sastera, politik, pentadbiran, pendidikan, agama dan segala yang bersangkutan dengan dunia Melayu secara keseluruhannya” kata Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim yang merasmikan bengkel ini.

Bengkel  ini dibahagikan kepada tiga tahap pembelajaran. Tahap 1,2 dan 3 yang dibezakan oleh jenis solekan destar. Proses pembelajaran dari tahap ke tahap ini bukanlah proses yang singkat dan mudah, namun iltizam para peserta dalam mempelajari ilmu ini amat perlu dihargai.

Pihak penganjur mengharapkan agar impak dari program seumpama ini, dapat memupuk kesedaran mempelajari asas penyolekan destar yang merupakan satu identiti masyarakat Melayu.  Destar yang menambah seri kepada pakaian tradisional Melayu seharusnya dipelajari oleh semua peringkat umur tanpa prejudis. Selain itu, diharapkan ilmu dan pengetahuan berkenaan Asas Senirupa Destar Alam Melayu dapat disebarkan dengan meluas dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Bengkel berakhir dengan jayanya pada jam 5.00 petang selepas selesai sesi pemberian sijil dan sesi bergambar bersama para peserta di hadapan Rumah Dato Raja Diwangsa, Negeri Sembilan.

Date of Input: 08/08/2022 | Updated: 08/08/2022 | s.nooraisyah

MEDIA SHARING

MALAY HERITAGE MUSEUM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698939
03-9769 3727
SXEYQA6~