From The Director's Desk | MALAY HERITAGE MUSEUM
» ABOUT US » From The Director's Desk

From The Director's Desk

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pemanis kata pembuka bicara, saya bagi pihak seluruh warga Muzium Warisan
Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia
mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian mengunjungi laman web ini.
Selaras dengan aspirasi “Menggema Seruan AL-FALAH daripada Menara Ilmu”,
laman web ini berhasrat menjadi sebahagian wadah yang dapat memacu
penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran khazanah dan warisan masyarakat
Melayu ke tahap kecemerlangan yang dicita-citakan. Muzium Warisan Melayu
sendiri tertegak dengan harapan yang menggunung untuk menjadi wadah yang
dapat menzahirkan pemikiran dan kearifan tempatan secara tuntas kepada pelajar,
penyelidik, penggiat dan peminat sastera, seni dan budaya Melayu, dengan
sebarannya yang telah meluas ke segenap pelusuk alam sejak zaman berzaman.
Tidak kenal tidak cinta, maka laman web ini seharusnya menjadi titik mula untuk
mengenali sendiri warisan Melayu yang menyelinap dalam segenap kehidupan
masyarakat negara ini.

Usaha penubuhan Muzium Warisan Melayu ditandai dengan inisiatif awal oleh
Profesor Datuk Dr Mohd Fauzi Haji Ramlan, mantan Naib Canselor Universiti Putra
Malaysia dan Profesor Dato’ Dr Abdul Mua’ti @ Zamri, mantan Dekan Fakulti
Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Usaha ini seterusnya
menjadi iltizam kepada Profesor Madya Dr Muhammad Pauzi Abdul Latif dan Dr
Rahimah Hamdan, dua orang pengarah/penyelaras Muzium Warisan Melayu yang
terdahulu, untuk mengumpulkan aneka artifak, antaranya manuskrip, busana dan
persenjataan Melayu, dan tentunya empat buah rumah tradisional (Pahang, Negeri
Sembilan, Perak dan Terengganu) yang gah, tegak dan tersergam di Laman
Budaya. Artifak-artifak ini pasti bukan yang pertama dan terakhir hadir mengukirkan
kegemilangan alam Melayu di kampus hijau Serdang, kerana pada setiap masa
kami mengusahakan artifak-artifak lain seumpamanya yang dapat menjadikan
Muzium Warisan Melayu sebagai suatu mercu Universiti Putra Malaysia.

Muzium Warisan Melayu tidak sekadar menjalankan fungsi sebagai pusat pameran
kepada pengunjung-pengunjung yang dahagakan ilmu. Muzium Warisan Melayu
juga menjalankan fungsinya untuk mendekatkan masyarakat kepada program
keilmuan dalam bentuk seminar/webinar, bengkel dan karnival kesusasteraan,
kesenian dan kebudayaan Melayu. Selainnya, Muzium Warisan Melayu turut
menyediakan ruang untuk keterlibatan masyarakat umum melalui perkhidmatan dan
sewaan tapak, antaranya bagi tujuan perkahwinan, fotografi dan hari keluarga.
Justeru, sokongan semua pihak, sama ada individu, badan kerajaan atau badan
bukan kerajaan, sangat dialu-alukan. Silakan, bersama-sama kami, memupuk
semula kegemilangan alam Melayu di Muzium Warisan Melayu.

Terima kasih,

Dr. Halis Azhan Mohd. Hanafiah
Penyelaras,
Muzium Warisan Melayu.

Updated:: 30/01/2023 [layla]

MEDIA SHARING

WWFcGAm:06:48