Menyelusuri Kearifan Silam Bangsa Melayu Di Muzium Warisan Melayu, UPM | MUZIUM WARISAN MELAYU
» ARTIKEL » Menyelusuri Kearifan Silam Bangsa Melayu di Muzium Warisan Melayu, UPM

Menyelusuri Kearifan Silam Bangsa Melayu di Muzium Warisan Melayu, UPM

Pepatah Melayu ada menyebut, "Tak kenal maka tak cinta" demikian digambarkan keindahan Muzium Warisan Melayu sebagai satu nama yang tidak asing lagi di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kini menjadi tumpuan pengunjung yang datang dari dalam dan luar negara. Kesungguhan usaha murni dalam pemeliharaan warisan Melayu meletakkan nama UPM seiring dengan institusi pengajian tinggi lain di dalam pengajian warisan dan budaya menerusi penubuhan Muzium Warisan Melayu. Secara rasminya, Muzium Warisan Melayu ditubuhkan pada awal Januari 2013. Idea penubuhannya diicetuskan oleh Naib Canselor UPM yang ke-7, iaitu Yang Berbahagia Prof. Dato' Dr. Mohd Fauzi Rmlan menunjukkan betapa UPM kini serius menggembleng usaha pemuliharaan dan pemeliharaan warisan Melayu di negara ini. Penubuhan sebuah muzium dilihat sebagai suatu pendekatan yang tepat kerana umum mengetahui betapa peranan muzium adalah sebagai sebuah institusi pengajian tidak formal yang bukan sahaja memberi pendidikan kepada orang ramai, malah muzium juga mampu mendekati pelbagai lapisan masyarakat menerusi aktiviti-aktiviti pengembangan yang bersesuaian.

 

Jika ditubuhkan muzizum tanpa ada objektif, maka ia ibarat membina rumah tanpa tiangnya. Objektif tertubuhnya muzium ini adalah untuk menjalankan aktiviti pemuziuman seperti menyelidik, mengumpul, merekod dan mendokumentasikan koleksi warisan Melayu. Selain itu, Muzium Warisan melayu juga merupakan produk eDU-Tourism di UPm yang mempamerkan dan memanfaatkan bahan artifak warisan sejarah negara bagi tujuan pendidikan masyarakat ke arah pembinaan jati diri dan pembangunaan bangsa. Usaha yang dilakukan ini memerlukan kesabaran dan daya ketahanan fizikal yang tinggi dalam menyampaikan wadahnya sebagai jendela masa silam yang membawa orang ramai menjejak warisan bangsa Melayu yang semakin dilupakan.

 

Keahlian di dalam International Concil of Museums (ICOM), Asia-Europe Museum Network (ASEMUS) dan Jawatankuasa Muzium & Galeri Awam Malaysia (MYMUSE) menjadikan muzium ini tidak ketinggalan dalam bidang pemuziuman dan mampu bersaing dengan muzium-muzium yang lain. Pendekatan yang diambil bagi muzium ini sedikit berbeza dengan muzium-muzium di luar sana, kerana muzium ini menekankan fungsinya sebagai institusi pengajian tidak formal, sama ada pembelajaran menerusi lawatan ke muzium, penyelidikan berteras akademik dan juga penganjuran program dan aktiviti yang bersifat mendidik masyarakat mengenai warisan Melayu. Saban hari, Muzium Warisan Melayu dijadikan agenda wajib bagi kunjungan mahasiswa UPM yang mengikuti kursus-kursus tertentu seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Kenegaraan Malaysia dan juga Pelancongan Warisan.

 

Sebagai sebuah muzium yang peka dengan perkembangan teknologi semasa, Muzium Warisan Melayu UPM juga tidak ketinggalan melengkapkan profail menerusi media sosial di facebook dan instagram. Selain itu, perancangan masa akan datang yang sedang diusahakan oleh Ketua Muzium Warisan Melayu, Puan Rahimah Hamdan adalah dengan mewujudkan penggunaan QR Code pada setiap kapsyen artifak di muzium yang boleh diakses melalui telefon bimbit. Dengan pembaharuan ini, diharap kelestarian warisan Melayu terus gemilang mengikut arus permodenan negara setanding muzium luar negara.

Tarikh Input: 04/02/2020 | Kemaskini: 03/07/2020 | s.nooraisyah

PERKONGSIAN MEDIA

MUZIUM WARISAN MELAYU
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698939
03-9769 3727
SXETFA4~