Pesta Makanan Tradisional Melayu 2022 Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi | MALAY HERITAGE MUSEUM
» NEWS » Pesta Makanan Tradisional Melayu 2022 Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi

Pesta Makanan Tradisional Melayu 2022 Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi

Bertemakan konsep ‘Herba dan Rempah-ratus dalam Tradisi Masakan Melayu’, Pesta Makanan Tradisional Melayu 2022 diadakan buat kali ke-3 yang merupakan anjuran bersama Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) dan PUSPANITA Cawangan Negeri Sembilan. Bertempat di Laman Warisan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, pelbagai acara telah diadakan bagi menyemarakkan suasana pada pesta tersebut yang diadakan pada 7 Disember 2022 daripada jam 9 pagi sehinggalah 5 petang. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Profesor. Dr. Ariffin Abdu mewakili Naib Canselor UPM Dato’ Profesor Dr. Mohd Roslan Sulaiman telah merasmikan pesta yang gilang-gemilang ini.


Kemeriahan pesta pada tahun ini dihangatkan dengan pelbagai acara menarik seperti pertandingan memasak (yang diadili oleh Chef Jo MasterChef Malaysia dan Chef Nizam L’Apprenti UPM) , menghias pulut kuning, chef cilik musang berjanggut, kembara resepi serta pelbagai demonstrasi masakan tradisional oleh Pak Tam Ketupat (Pemegang Malaysia Book of Records), Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., PUSPANITA Cawangan Negeri Sembilan dan Thermomix bersama selebriti Daphne Iking.

Para pengunjung ke pesta makanan ini juga berpeluang untuk membeli pelbagai juadah makanan tradisional seperti laksa, kuih muih, rojak buah-buahan, cendol dan banyak lagi.

Sebagai acara penutup kepada pesta makanan, upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang serta pelbagai cabutan bertuah diadakan. Tahniah diucapkan kepada para pemenang acara memasak, chef cilik, kembara resepi, musang berjanggut, menghias pulut kuning, kolaj dan banyak lagi.

Syabas FBMK! Kerjasama padu daripada pihak pengurusan fakulti, seluruh Ahli Jawatankuasa Pesta Makanan Tradisional 2022 serta semua staf Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini amatlah dihargai. Sehingga bertemu di Pesta Masakan Tradisional pada tahun hadapan dengan pelbagai acara yang lebih menarik lagi. Setinggi terima kasih kepada barisan penaja iaitu Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., Prihatin Ehsan Holding, Rumah Hutan Terapi Alam, L’Apprenti UPM, Sahabat Masjid UPM, Yayasan Basmi Kemiskinan, FAMA Negeri Sembilan, Nestle Products Sdn Bhd, KNS Creative Sdn. Bhd., Telaga Biru Sdn. Bhd, Relong Klasik Resources, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan yang banyak menyumbang bagi memastikan kejayaan program ini.

Date of Input: 22/12/2022 | Updated: 22/12/2022 | s.nooraisyah

MEDIA SHARING

MALAY HERITAGE MUSEUM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698939
03-9769 3727
SXDdRAj~