Adab Dalam Kemerdekaan Diri Insan | MALAY HERITAGE MUSEUM
» NEWS » Adab dalam Kemerdekaan Diri Insan

Adab dalam Kemerdekaan Diri Insan

Serdang – Adab merupakan perkara yang diberikan penekanan serius dalam kehidupan manusia. Para ilmuwan Islam sering berpesan tentang kepentingan adab. Misalnya, Imam Malik r.a. dengan mafhum hadis berkata, “Pelajarilah adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu.” Kepentingan menjaga adab adalah bertujuan untuk memudahkan setiap urusan manusia, khususnya dalam usaha menuntut ilmu.

 

Setelah 64 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, masih kedapatan unsur-unsur yang secara tidak sedar merosakkan daya fikir, amalan dan tindakan individu dan masyarakat, yang berpunca daripada kebejatan adab dan kefahamannya. Maka dengan itu, Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia mengambil inisiatif mengadakan Webinar Bicara Ilmu “Adab dan Makna Kemerdekaan Diri Insan di Malaysia” pada 15 September yang lalu.

 

 

Penceramahnya, Yang Berbahagia Profesor Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud, Penyandang Kerusi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas, juga pengasas dan mantan Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofia (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia berkata, “Adab ialah manifestasi keadilan yang terjelma bersumberkan hikmah. Orang yang beradab atau bangsa yang beradab akan memancarkan keadilan dalam semua tindakannya, berasaskan undang-undang dan bersumberkan ilmu dari tempatnya yang sebenar.”

 

Justeru, adab ialah ilmu yang diberikan kepada pemiliknya, suatu pengetahuan terhadap tempat sebenar sesuatu perkara, dan amalan yang menuruti ilmu tersebut. Oleh itu, jika pengetahuan tentang sesuatu perkara diselami dan diamalkan dengan betul, adablah yang merukuni hidup manusia di atas muka bumi ini.

 

Adab dalam Perlembagaan Negara yang menunjangi prinsip hidup masyarakat Malaysia juga dapat diletakkan sebagai sumber rujukan bangsa untuk hidup bersama dengan harmoni, jika tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik. Selagi Perlembagaan dipengaruhi oleh kepelbagaian keinginan politik, maka kemerdekaan hanyalah disebut-sebut secara literal sahaja, sedang hakikatnya, kita terbelenggu oleh anasir-anasir yang merosakkan adab dalam kehidupan.

 

Perluasan makna adab dapat dilihat apabila kita meraikan kepelbagaian agama. Misalnya, agama Islam yang berkembang dan memancarkan budaya keilmuannya secara baik. Meskipun ia bersifat dominan tetapi tiada diskriminasi terhadap agama lain. Bahkan, ada tempat untuk penganutnya beramal dengan agamanya. Lantaran itu, terbina kepelbagaian dalam kesatuan kerana saling meraikan dan saling menghormati antara satu sama lain.

 

 

Adab juga dapat dilihat dalam pembinaan konteks bahasa Melayu. Tempat ibadat bagi orang Islam dipanggil masjid, manakala tempat ibadat bagi orang Kristian dipanggil gereja. Istilah-istilah seperti Allahyarham, Allahyarhamah dan Mendiang misalnya, merupakan satu pengiktirafan dan tanda penghormatan. Justeru, bahasa memainkan peranan penting dalam mengiktiraf kepelbagaian agama, etnik dan amalan budaya. Meski berbeza agama dan bangsa, mencari kesatuan dalam kepelbagaian adalah dituntut.

 

Setiap tradisi agama dan bangsa ada tokoh-tokohnya yang dikagumi. Demikian itu, kepentingan beradab ditekankan oleh semua agama dan dilarang meremehkan Tuhan terhadap agama-agama lain, kerana akan menimbulkan persengketaan. Maka, wajarnya penekanan tentang adab dititik beratkan supaya keadilan sesama manusia tercapai dengan jaya. Hal ini bertepatan dengan seruan Allah SWT dengan mafhum ayat yang menyeru supaya mengelakkan kebencian terhadap sesuatu kaum, kerana hal ini akan membuatkan manusia tidak berlaku adil.

 

Dalam konteks meraikan kepelbagaian ini, tidak lupa juga harus ditelusuri kepentingan adab terhadap pemimpin, selagi tidak membawa kemudaratan kepada rakyat. Sepertimana rakyat meraikan kepelbagaian pemimpin, maka dengan itu para pemimpin juga perlu meletakkan rakyat di tempat mereka, supaya amanah kepimpinan dapat dijalankan dengan sebaiknya.

 

Kebebasan fizikal bukan secara mutlak andai pemikiran dan cara hidup masih terjajah. Pembebasan terhadap penjajahan ekonomi, sistem perundangan dan bahasa juga sangat perlu dipandang serius. Kesan penjajahan membuktikan negara Malaysia masih terikat dengan unsur-unsur yang menghalangi masyarakatnya untuk keluar daripada sekatan ekonomi. Justeru, adab dalam konteks kemerdekaan wajar dipandang sebagai simbol keadilan kerana masyarakat perlu mengatur kehidupan dan tatacara diri dengan adil. Jika masih bergantung pada tatacara dan sistem penjajahan, maka tanpa sedar, tatacara hidup kita juga dipacu oleh penjajah.

 

 

“Kita boleh menerima perubahan, namun tidak sampai merosakkan akal fikir, budaya dan tradisi. Inilah yang dinamakan sebagai pergerakan teguh (dynamic stabilism). Harus bertindak secara tidak berlebihan dan jangan pula menerima semua perkara sehingga akhirnya menjadi terlalu liberal. Juga, jangan pula tidak mahu langsung menerima perubahan kerana hal ini mencetuskan pergerakan yang tidak teguh, sekali gus menggugat keharmonian hidup,” ujar Prof. Wan Mohd. Nor.

 

Tambahnya lagi, “Dominant trend ialah naratif dunia dekad ini. Misalnya, orang-orang yang menguasai kewangan, media sosial dan mempunyai tempat dalam kuasa besar. Mereka tidak ramai tetapi sangat mendominasi cara hidup manusia. Di sinilah kita berperanan agar kembali kepada keadilan yang bertunjangkan ilmu dan hikmah, barulah nikmat kemerdekaan mendapat kepentingan majoriti yang mendominasi.”

 

Pada akhir webinar, moderatornya Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani, Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, mengangkat persoalan penonton yang berbunyi: apakah adab mengurus negara? Lalu dijawab nakal oleh Prof. Wan, “Bertanyalah kepada Perdana Menteri kerana saya bukan si pemimpin.”

 

Namun pada akhirnya, beliau mengulas bahawa adab mengurus negara perlulah tahu akan tanggungjawab mengurus diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu. Barulah ilmu tentang adab mengurus negara itu dapat diamalkan dalam kerja mentadbir negara, kerana ramai manusia yang berilmu tetapi biadab pada ilmunya kerana tidak beramal dengan ilmu yang dimilikinya.

 

https://dewansastera.jendeladbp.my/2021/09/21/adab-dalam-kemerdekaan-diri-insani/?fbclid=IwAR0hAspT5AuUp4P4iNBJ6FZK42rerRbX5qRX2uxYoT937c232MVEgmM0ddE

Date of Input: 06/10/2021 | Updated: 06/10/2021 | s.nooraisyah

MEDIA SHARING

MALAY HERITAGE MUSEUM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397698939
03-9769 3727
CUMBIA6:08:53