Memahami Situasi Semasa ‘bencana’ Akibat ‘wabak’ Selsema Burung Di Kelantan | MALAY HERITAGE MUSEUM
» ARTICLE » Memahami situasi semasa ‘bencana’ akibat ‘wabak’ selsema burung di Kelantan

Memahami situasi semasa ‘bencana’ akibat ‘wabak’ selsema burung di Kelantan

***Currently, this article don't have in English version***


Oleh: Prof Madya Dr Malina Osman, Pakar Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Pada 15 Mac kelmarin, apabila Kerajaan Negeri Kelantan mengisytiharkan bencana selesema burung di negeri tersebut di bawah arahan peruntukan Majlis Keselamatan Negara 20, sebahagian masyarakat menerimanya sebagai satu kejutan dan sebahagian lagi dengan persepsi tanda-tanya. 

Meskipun wujud kegusaran dan ketidakpastian, namun apa yang kita perlu ambil maklum ialah langkah keselamatan itu sebenarnya merupakan langkah berjaga-jaga yang dilakukan untuk mengelakkan jangkitan berlaku pada komuniti penduduk yang berada dalam daerah yang terlibat serta mengekang perebakan wabak itu ke tempat lain. 

Wabak selesema burung merupakan penyakit pernafasan pada populasi avian iaitu termasuk ayam, burung, itik, ayam turki, angsa dan lain-lain. Pengumuman itu dilakukan selepas  wabak jangkitan yang dikesan pada kelompok ternakan ayam di Kampung Pulau Tebu di Tunjong yang seterusnya dilaporkan oleh portal akhbar tempatan merebak ke beberapa daerah di Kelantan termasuk Pasir Mas, Kota Bharu dan Bachok. 

Melalui peruntukan Majlis Keselamatan Negara 20 berkenaan, jabatan kerajaan terlibat perlu mengambil langkah berusaha mengekang perebakan wabak berkenaan. Pada masa ini, hanya Jabatan Veterinari Negeri bertanggungjawab menguruskan wabak pada populasi ternakan domestik yang telah dikenalpasti. 

Sehingga hari ini, laporan menyebut sejumlah 24,768 ternakan telahpun dilupuskan. Dalam konteks ini juga, apa yang paling penting tiada kes mahupun wabak di kalangan manusia yang telah dilaporkan.

Virus penyebab jangkitan ialah virus avian influenza A, yang mana ia dikelaskan pula kepada kumplan berkeupayaan tinggi menyebabkan jangkitan (Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI) viruses) dan juga kumpulan berkeupayaan rendah menyebabkan jangkitan (Low Pathogenic Avian Influenza (LPAI) A viruses). 

Virus berkenaan dikumuhkan keluar dari badan haiwan yang dijangkiti melalui air liur, bendalir salur pernafasan dan juga najis haiwan berkenaan. Kejadian selsema burung dalam kumpulan haiwan burung di habitat semulajadi berlaku melalui jangkitan pada sistem usus dan pernafasan haiwan. Bagaimanapun, gejala sakit akibat jangkitan virus berkenaan tidak ketara di kalangan burung akuatik yang liar. 

Jika virus penyebab selesema burung ini menjangkiti kumpulan ternakan domestik, jangkitan sangat mudah merebak melalui bendalir dan najis yang mengandungi virus. Ia juga berjangkit secara tidak langsung iaitu melalui sentuhan permukaan struktur atau alatan yang tercemar dengan virus berkenaan. Haiwan domestik biasanya menunjukkan gejala sakit teruk ketara sehingga boleh menyebabkan kematian.

Bagaimana manusia terlibat dalam rantaian jangkitan berkenaan? 

Pada umumnya manusia bukan merupakan sasaran utama jangkitan virus namun risiko jangkitan tetap wujud. Melalui bendalir haiwan yang infektif, seseorang itu boleh mendapat jangkitan melalui sentuhan tangan ke atas bendalir haiwan tersebut dan memindahkannya secara langsung ke bahagian mata, hidung, mulut atau melalui udara pernafasan ke dalam paru-paru. 

Ini terjadi apabila individu berkenaan tidak mengendahkan kebersihan tangan dan diri selepas memegang atau menyentuh haiwan domestik (avian) yang infektif. Jangkitan ke atas manusia juga berlaku apabila individu yang mempunyai sentuhan dengan haiwan burung atau permukaan tercemar tetapi tidak menggunakan peralatan perlindungan diri. 

Apabila berlaku jangkitan, sindrom yang direkodkan adalah pelbagai iaitu pada spektrum jangkitan ringan sehingga jangkitan teruk. Jangkitan akibat virus dalam kategori HPAI pada manusia,  didokumentasikan menyebabkan gejala demam selesema yang teruk, masalah pernafasan teruk, radang paru-paru dan kematian akibat kegagalan fungsi paru-paru. Manakala jangkitan oleh virus avian dalam kumpulan LPAI pula dilaporkan menyebabkan gejala konjunktivitis dan demam selesema yang ringan. 

Individu yang mempunyai gejala jangkitan pernafasan dengan maklumat mempunyai sejarah pendedahan kepada populasi burung (ternakan ayam, itik dan sebagainya) perlu mendapat rawatan segera dan mungkin memerlukan rawatan intensif. Buat masa ini terdapat anti-virus yang dapat mengurangkan keterukan gejala, penggunaan vaksin pencegahan pula belum lagi terbukti berkesan. Meskipun jangkitan sesama manusia dalam kes selesema burung belum pernah dilaporkan namun langkah pencegahan di lapangan perlu dilakukan untuk mengelakkan perebakan wabak.

Bagaimana pula dengan hasil produk seperti daging dan telur haiwan ternakan tersebut? 

Kesemua produk tersebut selamat untuk dimakan dengan syarat ia dibersihkan menurut langkah amalan kebersihan makanan yang disyorkan serta dimasak sempurna. Biasanya virus penyebab mati akibat pemanasan pada suhu masakan iaitu pada suhu melebihi 70oC. Sehingga kini, tiada kes jangkitan pada manusia yang dilaporkan melalui memakan makanan produk ternakan burung.

Oleh itu, pengisytiharan ‘bencana akibat wabak” selsema burung di Kelantan sebenarnya adalah langkah berjaga-jaga untuk mengekang mengelakkan perebakan virus dalam haiwan domestik ke daerah lain di luar kawasan terjejas. Wabak berkenaan pada masa ini hanya melibatkan populasi ternakan domestik, tiada kes pesakit klinikal. Jabatan Veterinari Negeri dengan kerjasama agensi terlibat melaksanakan prosedur operasi piawai bagi mengekang perebakan haiwan yang dijangkiti virus.

Langkah pencegahan pada masa ini yang perlu dilakukan oleh masyarakat ialah mengelakkan perhubungan langsung dengan haiwan domestik (semua jenis burung) tersebut yang hidup atau mengelakkan dari menyentuh secara langsung bangkai haiwan mati yang tidak diproses. 

Produk makanan dari haiwan berkenaan adalah selamat dimakan dengan syarat dibersihkan dengan sempurna serta dimasak pada suhu biasa dapur masakan. Turut disyorkan untuk mengelakkan diri dari sebarang perniagaan yang melibatkan urusbeli haiwan domestik dari kawasan terjejas, manakala bagi pengusaha domestik terutamanya yang terlibat dengan aktiviti pengangkutan dan penyembelihan perlu serius menggunakan alatan perlindungan diri. 

Kesimpulannya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT dan terus melipatgandakan usaha semoga Negara kita terus sejahtera dan terpelihara dari wabak penyakit selsema burung ini dan juga sebarang wabak penyakit. Ya Allah, rahmatilah Malaysia.

 

Prof. Madya Dr. Malina Osman

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/ Biostatistik)

Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan,

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM

Email: malinaosman@upm.edu.my 

Updated:: 22/03/2017 [hairul_nizam]

MEDIA SHARING

SEE ALSO
MALAY HERITAGE MUSEUM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389468939
0389439951
C1503113917