From The Director's Desk | MALAY HERITAGE MUSEUM
» ABOUT US » From The Director's Desk

From The Director's Desk

Apa tanda budaya Melayu,
Kepada Islam ia mengacu.

Apa tanda Melayu berbahasa,
Kepada Islam ia berpunca.

Tegak Melayu kerana budayanya,
Tegak budaya kerana agamanya.

Di mana Melayu tegak,
Pada sunnah berserta syarak.                                                 

(Tenas Effendy, 2015)

 

Pemanis kata pemula bicara, saya bagi pihak Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia ingin mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian mengunjungi laman web kami. Laman web ini dibina berteraskan kepada semangat untuk menghebahkan kepada khalayak bahawa terdapat muzium dalam institusi pengajian tinggi yang berfokuskan kepada khazanah dan warisan masyarakat Melayu. Menerusi usaha murni ini, Muzium Warisan Melayu bukan sekadar menepati selera pengunjung yang mahukan informasi mengenai ilmu dan bestari yang terpahat dalam khazanah Melayu tetapi turut menyediakan pusat keilmuan yang boleh dirujuk sebagai 'makmal penyelidikan' kepada para pelajar, penyelidik dan peminat sastera, seni dan budaya daripada pelbagai jurusan dan disiplin ilmu.

 

Usaha awal menubuhkan Muzium Warisan Melayu ini perlu dihargai berkat kegigihan dan sokongan mantan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia iaitu YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Hj. Ramlan, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi iaitu YBhg. Prof. Dr. Abdul Mua'ti@Zamri Ahmad serta mantan Pengarah Muzium Warisan Melayu, Prof. Madya Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif yang wajar dikenang dan diberi penghargaan setingginya. Tanpa mereka, maka Muzium Warisan Melayu tidak mampu tersergam indah seperti hari ini sehingga mampu mengumpulkan pelbagai artifak (meliputi tiga galeri utama iaitu busana dan tekstil, manuskrip serta persenjataan Melayu) termasuk empat buah rumah tradisional (Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Pahang) yang merupakan 'signature' kepada Universiti Putra Malaysia. Hasrat kami, semoga pada suatu hari nanti rumah tradisional Selangor dapat dibawa dan didirikan semula di Laman Warisan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi agar melengkapi barisan rumah pusaka yang menjadi kebanggaan warga UPM.

 

Selaras dengan misi UPM dalam menjadikan Muzium Warisan Melayu sebagai pusat penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, maka beberapa aktiviti kemasyarakatan telah dijalankan dalam bentuk seminar, webinar bengkel dan pesta. Pihak kami juga menyediakan pelbagai perkhidmatan dan ruang untuk disewa bagi menepati tujuan keramaian seperti perkahwinan, fotografi dan beberapa yang lain. Justeru, sebarang sokongan daripada pihak kerajaan, swasta dan NGO adalah dialu-alukan demi bersama-sama menjayakan misi murni ini. Marilah berkunjung ke Muzium Warisan Melayu, UPM. Kenali pusaka dan warisan, kenali jati diri!

 

Terima kasih.

 

Dr. Rahimah Hamdan
Ketua
Muzium Warisan Melayu

Updated:: 06/10/2021

MEDIA SHARING

CVBcLA:11:24